KUANTAN 23 Sept. - Setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri, seorang ibu tunggal bersama empat anaknya hanya mampu melihat keriangan insan-insan lain menyambut hari lebaran itu. Tiada ketupat rendang, jauh sekali pakaian baru buat mereka sekeluarga melainkan linangan air mata apabila berkumandangnya takbir di pagi Syawal.
Lebih mengharukan apabila anak-anak Rosnah Samawi, 38, bertanyakan baju dan kasut baru untuk keluar beraya bersama rakan. Rosnah bersama empat anaknya, Nurul Hidayah Hussein, 12; Mohd. Taufik, 8; Siti Najar, 7, dan Norhayati, 3, mengharungi keperitan itu sejak tiga tahun lalu apabila suaminya yang bekerja sebagai buruh kasar meninggal dunia akibat diserang penyakit asma.
Kini, lima beranak itu bukan sahaja tinggal di sebuah rumah papan usang sebesar bilik tidur di Tanah Putih Lama di sini, malah kehidupan mereka bergantung sepenuhnya pada wang bantuan RM200 yang diperuntukkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada setiap bulan.
Rosnah ketika ditemui berkata, keperitan hidupnya bermula apabila suaminya meninggal dunia pada tahun 2005 menyebabkan dia bersama empat anaknya hilang tempat bergantung dan terpaksa meneruskan hidup dalam penuh kedaifan.